Wednesday, June 18, 2014

Karya Novel

Assalamualaikum Warahmatullah Hiwabarakatuh
Selamat sejahtera

Novel ini sudah lama aku siapkan. Aku juga pernah mempamerkannya di blog ini. Tetapi aku mahu membuat penambahbaikan. Oleh itu, aku memadamnya dan mempamerkannya sekali lagi.

Sekarang musim cuti sekolah. 

Tajuk novel aku ialah 
Realiti VS Mimpi

PROLOG
Akhirnya bangun. Imbasan kejadian itu masih ada dalam kotak fikiran aku. Banyak ingatan samar-samar akan kejadian itu yang berlalu sepantas kilat dalam kotak fikiran aku. Ada yang aku ingat aku pernah lihat, ada yang tidak.
‘Masih penat dengan pengembaraan aku ni.’ Aku sedih dan terkejut dengan peristiwa-peristiwa yang aku alami tadi.
‘Alhamdulillah, semuanya hanyalah mimpi semata-mata’  Perabot-perabot di sekeliling aku, kesemuanya berputar-putar untuk seketika.
Alhamdulillah. Nasib baik semuanya kembali seperti sedia kala. Aku segera mencapai cermin mata di atas meja kecil yang diperbuat daripada kayu jati tahan lama. Aku memandang jam di dinding.
Sudah lambat! Aku segera bangkit dan keluar.
Di ruang tamu, ibuku sedang menonton televisyen.Ia merupakan rutin harian baginya untuk menonton berita pada setiap pagi. Dia menjeling kepadaku. Aku tersengih. Aku menjenguk ke dapur. Ayahku sedang mendengar radio. Sudah menjadi rutin baginya untuk mendengar berita pagi sambil menghirup secawan teh panas. Aku segera masuk ke dalam bilik air.
Kelihatan habuk yang seakan-akan tanah berwarna coklat keemas-emasan berada di bawah sebuah meja. Hanya sedikit namun jelas kerana warnanya yang cantik.

 Bab 1
Nama aku Muhammad Abu bin Abdullah. Aku pelajar biasa di sekolahku. Kawan-kawan aku yang menganggap aku pelik. Mungkin kerana aku pelajar cemerlang di situ. Sebenarnya, tidaklah secemerlang mana. Aku hanya pernah mendapat nombor satu sepanjang aku bersekolah di Sekolah Menengah Agama Abu Bakar sejak tiga tahun lalu. Tidaklah secemerlang abang-abang dan kakak-kakakku yang kesemuanya kini melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar.
Aku rasa bertuah dilahirkan dalam keluarga Abdullah bin Ibrahim. Ibu bapaku mementingkan agama dan pelajaran. Aku mendapat pendidikan agama mahupun dunia secukupnya. Kata ibuku “Abu, pelajaran agama dan dunia, kedua-duanya penting. Jika kita hanya ada ilmu agama tanpa ilmu dunia, bagaimana mahu berdakwah? Jika sebaliknya, maka ilmu dunia tu sia-sia belaka!” Aku kagum dengan beliau. Hebat kata-kata itu. Ayat itu sentiasa terngiang-ngiang di fikiran aku dan menjadi motivasi untuk aku terus belajar.


“Assalamualaikum Abu! Lama tak nampak kau!”
Tersedak aku akan air sirap buatan Mak Cik Peah. Rahman tersengih macam kerang busuk.
“Waalaikumussalam! Silakan duduk ya sahabatku.” Tanpa berlengah, Rahman duduk dengan muka selamba. Tergeleng-geleng Fikri.
“Kenapa dengan kau ni? Gembira semacam aku tengok” kata aku kepada Rahman sebaik sahaja dia duduk.
“Entah. Dari tadi aku tengok dia ni senyum dari telinga ke telinga” jawap Fikri, si tukang jawap tidak berbayar.
“Haha. Nak tahu kenapa? Mari sini aku beritahu.” Rahman membuat isyarat agar kami berdua rapat dengannya. Dengan mata bersinar-sinar, kami merapatkan telinga. Lebih tepat membuat sebuah bulatan kecil yang kami pastikan hanya kami dapat dengar akan perbualan Rahman seterusnya.

Ikatan kumpulan terlerai. Fikri membuat gaya muka yang hampir sama dengan aku. Kami berdua memandang Rahman seakan-akan tidak percaya akan apa yang dibisiknya tadi.
“Eh, tak perlulah terkejut! Haha. Macam mana pemberitahuan tadi? Ada serangan sakit jantung?” Tanya Rahman dengan muka selamba dengan lawak basinya. Lawak yang tidak layak dipanggil lawak.
“Tahniah Rahman! Tak sangka kau akan menang pertandingan nasyid tu.” Kata aku. Sebenarnya lebih kepada sindiran bukan setakat kata-kata.
“Aku fikir apalah tadi. Aku fikir kau nak beritahu maklumat sulit kerajaan Amerika atau Yahudi. Baru rasa teruja tadi” kata Fikri pula, acuh tak acuh.
“Kami tidak terkejut pun. Kami sudah jangka kau dengan kumpulan nasyid sekolah kita akan memenangi pertandingan nasyid peringkat negeri tu.” Rahman menepuk-nepuk bahu aku. “Inilah dikatakan sahabat sejati” Fikri tidak mahu ketinggalan. Dia pun menyambung “Betul, betul, betul.” Rahman pun menepuk-nepuk bahu Fikri pula. Geli hati aku melihat mereka.


“Kau tak nak masuk kumpulan nasyid sekolah kita?” Tanya Rahman sebaik sahaja dia duduk di atas kerusi sebelah aku selepas waktu rehat. Aku memandangnya lalu tergelak. “Kau pasti? Suara aku tidaklah semerdu seperti kalian.” Rahman tersengih. Ada betul kata aku.
“Kenapa kau beriya-iya nak memartabatkan kumpulan nasyid sekolah kita?” Soalan itu terpancul daripada mulut Azman yang terdengar perbualan kami. Kami menoleh ke belakang. “Bukanlah apa. Aku lihat engkau bersungguh-sungguh untuk memartabatkan kumpulan nasyid kita.” Azman merupakan salah seorang ahli kumpulan nasyid juga. Kelihatan Rahman berfikir dalam sejenak sebelum menjawab pertanyaan itu.
“Cita-cita aku ialah  ingin berdakwah kepada dunia. Aku juga ingin masuk ke Universiti al-Azhar. Aku memulakan pelaksanaan cita-cita ini dengan bernasyid. Mungkin ada segelintir masyarakat yang beranggapan bahawa bernasyid ini hanyalah memerdukan suara sahaja. Sebenarnya aku lebih suka menjadi penulis lagu nasyid. Menjadikan masyarakat sekarang lebih suka lagu nasyid berbanding lagu pop dan menukar tanggapan mereka terhadap tugas nasyid. Namun, tidak dinafikan ada kumpulan nasyid yang hanya menekankan kepada kemerduan dan keharmonian suara. Namun, mesej dan lagu itu tidak sampai kepada para pendengar. Daripada mementingkan suara, aku lebih suka lagu itu dapat menyentap hati para pendengar.” Rahman mengambil nafas. Lalu dia menyambung “Kita tidak dapat jangka bila kematian akan berlaku. Jika setakat cita-cita mahu mengubah dunia tanpa perlaksanaanya, hanyalah sia-sia. Jika seseorang mengubah dirinya, maka dia dapat mengubah keluarganya. Seterusnya masyarakat dan akhirnya dunia. In sha Allah.”
Bab 2
Aku terkejut dengan apa yang keluar dari mulut Rahman tadi. Reaksi yang sama dilihat di muka Azman. Ayat-ayat yang dikatakannya tadi di sekolah terngiang-ngiang di telinga aku sehinggalah aku pulang ke rumah.
“Abu!” Aku tersentap. Mencari-cari arah suara itu.
“Abu!” Suara itu memanggil aku sekali lagi. Kali ini aku dapat mengenal pasti arah suara itu. Aku memandang ke kanan. Dilihat seoarang wanita separuh umur yang berkerut dahi memandangku.
“Abu!” Aku kembali ke dunia realiti sepenuhnya. “Ya, emak!”
Ibuku menggelengkan kepalanya. “Sudah pukul berapa ni? Pergi bersiap-siap. Nanti turun untuk solat berjemaah. Sepantas kilat kepalaku berpusing menghadap jam dinding. Jarum pendek menunjukkan ruang di antara nombor enam dan tujuh dan lebih hampir dengan nombor tujuh. Sudah dekat dengan nombor tujuh namun masih ada lagi sedikit ruang yang membuatkannya belum tiba ke nombor tujuh sepenuhnya. Jarum panjang pula menunjukkan nombor sebelas tepat. Aku mengagak pukul berapa.
“6.55 petang.” Kakak aku tolong menjawabkannya. Dia memerhatikan aku sejak dari tadi. Baru aku sedar akan kehadirannya di dalam rumah ini. Memoriku datang. Oh, baru aku teringat! Dia pulang sekejap kerana ada hal di Malaysia.
“6.55 petang” Dia mengulangnya. Aku masih berada di ruang tamu. “Pergi bersiap, Abu!” Aku tersedar. Pukul 6.55 petang? Nampaknya aku memikirkan kata-kata Rahman untuk masa yang lama. Aku terus bangkit dan naik ke bilik melepasi kakakku. Aku tersengih memandangnya.
Usai solat Isyak, aku terus naik ke bilik. Niat aku pada mulanya untuk mengulang kaji pelajaran memandangkan peperiksaan pertengahan tahun hampr tiba. Tiba-tiba ayat Rahman muncul di kepalaku sekali lagi. ‘Kita tidak dapat jangka bila kematian akan berlaku. Jika setakat cita-cita mahu mengubah dunia tanpa perlaksanaanya, hanyalah sia-sia. Jika seseorang mengubah dirinya, maka dia dapat mengubah keluarganya. Seterusnya masyarakat dan akhirnya dunia…’ Aku mengulang ayat itu.
Benarlah kata-katanya. Aku lebih berfikiran jauh setelah meneliti ayat-ayat ini.

Aku diberikan pendidikan agama dan dunia secukupnya. Impian aku sama dengan rakan-rakanku yang lain iaitu untuk menegakkan syariat Islam di muka bumi ini. Aku tertanya-tanya. ‘Apakah yang aku pernah buat sejak aku ada impian ini?’
‘Mahu tunggu selepas habis tuntut belajar di universiti? Tidak, itu hanyalah alasan semata-mata. Seperti yang dikatakan Rahman, kematian bila-bila masa sahaja.’
Bab 3
‘Siapa itu?’ Tanya aku memandang ke arah seorang lelaki berumur pertengahan 30-an. Gerak hati aku kuat mengatakan itu Rahman. Namun, dari apa yang kulihat, Rahman bukanlah seseorang yang memiliki janggut. Mukanya pun sudah berkedut. Yang paling utama ialah Rahman ialah seorang budak lelaki. Mukanya ada iras-iras Rahman. Entah mengapa aku terus teringatkan Rahman apabila memandangnya.
Lelaki itu datang dan terus duduk di sebelah aku. Dia memberikan senyuman. Aku masih diam dalam kebingungan.
“Assalamualaikum Abu! Dah lama sampai ke? Aku ada hal tadi.” Kata lelaki itu.
Belum sempat aku berkata apa-apa, seorang lagi lelaki duduk di tepinya.
“Hah, Fikri! Sampai pun kau.” Kata lelaki tadi.
“Aik, Rahman, awal pula kau hari ni.”
Kerutan yang sudah ada di dahi bertambah kerut. Bagaimana aku boleh berada di sini? Siapa dua orang lelaki ini? Bagaimana mereka mengenali aku? Adakah kebetulan nama mereka Rahman dan Fikri?
Perbualan berlanjutan. Pelik, aku tidak dapat bersuara apa-apa. Setiap kali aku membuka mulut untuk bersuara, aku berada di situasi berlainan. Maknanya isi perbualan itu akan bertukar setiap kali aku membuka mulut untuk mencelah.
“Kau bagaimana Rahman?”
“Alhamdulillah. Aku sudah habis belajar di sebuah universiti. Aku ambil bidang sejarah Islam.”
“Tahniah! Aku ambil bidang kehakiman. Yalah, memandangkan bab hukum-hukum ni penting, aku nak menggalas tanggungjawab untuk memeliharanya. Bab-bab macam ni jangan main-main.”
Aku dapat mendengar keseluruhan isi perbualan. Mereka berdua menceritakan tentang kepentingan bidang masing-masing terhadap umat Islam.
“Sejarah Islam amatlah istimewa. Sejarah penting supaya kita tidak mengulangi lagi sejarah pahit. Dulu, Malaysia dijajah secara zahir dan batin. Namun sekarang, Malaysia belum lagi merdeka. Mereka dijajah dari segi pemikiran. Lihatlah sahaja pertuturan, pemakaian dan tingkah laku mereka. Hal yang sama kepada umat Islam.”
Aku teringatkan akan ayat ‘Melayu mudah lupa’.
“Sistem bidang kehakiman syariat di Malaysia juga sudah longgar. Pada dasarnya, Malaysia menggunakan Undang-Undang Perlembagaan di mana tidak tercatat bahawa undang-undang Islam melebihi segalanya dan paling diutamakan. Nampak tak kelonggaran di situ? Kelonggaran di mana talinya hampir putus.”
Isi perbualan semakin menarik. Aku terlupa akan soalanku unuk seketika. Aku menumpukan perhatian kepada perbualan yang semakin menarik minat.
Perbualan berlanjutan.
“Macam mana pula dengan kau, Abu?”
Mereka berdua memandang aku dengan serentak. Aku terkejut di kala aku sedang tekun mendengar perbualan mereka.
‘Ah, soalan itu pula terpancul! Eh, bagaimana mereka mengenali aku?’
Aku mengangkat muka untuk memandang mereka. Alangkah terkejutnya aku apabila semuanya gelap tika aku mengangkat kepala. Aku dapat memandang semuanya, semuanya jelas. Namun semuanya berwarna hitam. Aku amat terkejut sekali.

Bab 4
“Dengan ini Kishorthanan a/l Ramusary tidak menjadi Muslim dengan sah di sisi Undang-Undang Perlembagaan Malaysia.”
Dewan bergema dengan keputusan itu. Dewan dipenuhi dengan suara bantahan dan tepukan.
Dua pihak berlainan berada di dalam satu dewan, menunggu keputusan yang adil di mahkamah. Adilkah mahkamah sehinggakan suara bantahan bergema dengan sekuatnya di dalam dewan itu? Mungkin mereka itu berada di pihak yang salah dan tidak dapat menerima kenyataan.
Dengan masa kurang daripada masa yang diambil untuk mengelip mata, aku berada di tempat yang lain. Aku berada di sebuah dewan.
‘Aku tidak sempat menjawab persoalan pak cik tadi. Kini, aku tiba di sini pula.’ Aku semakin faham dengan permainan ini. Aku agak aku tidak dapat berkata apa-apa di dewan ini, seperti di kedai tadi.
Mataku melilau ke segenap dewan itu. Dimulakan dengan pemandangan yang paling hampir dengan aku. Dilihat ada barisan bangku dan ramai orang duduk di atasnya. Baru aku tersedar bahawa aku tiba di sini dalam keadaan duduk, di atas bangku itu. Aku mengalihkan mataku ke hadapan. Dapatlah aku agak aku di mana. Mahkamah. Aku lihat para hakim di hadapan seolah-olah para pelakon yang berlakon seperti para hakim di televisyen. Dewan ini penuh.
‘Perbicaraan ini menarik minat orang ramai sehinggakan ramai orang di sini.’
“Dengan ini Kishorthanan a/l Ramusary tidak menjadi Muslim dengan sah di sisi Undang-Undang Perlembagaan Malaysia.”
Ayat itu diproses dalam fikiranku. Ah, aku sudah dapat agak apa yang berlaku di sini sehinggakan menarik minat ramai di negara ini, negara Islam. Aku pernah membaca sebuah kisah seperti ini di internet.
“Profesor Abu, apakah pendapat encik akan perbicaraan ini? Adakah wajar keputusannya begini?” Seorang lelaki separuh umur bertanya kepadaku. Dia duduk di sebelah aku. Aku fikir aku bagaikan halimunan di situ dan dapat melihat segalanya. Namun tidak, orang di situ dapat mengetahui kewujudan aku.
“Profesor Abu merupakan professor terkenal di negara ini yang arif dalam bidang agama. Perbicaraan kali ini menguji persamaan undang-undang negara kita dengan undang-undang Islam. Keputusan kali ini memang mengejutkan bagi sebuah negara Islam. Encik seorang yang alim. Apa pendapat encik terhadap keputusan mahkamah yang tidak membenarkan yang terlibat menjadi Muslim semula gara-gara undang-undang Malaysia yang menyatakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun hanya boleh menganuti agama lain jika dibenarkan oleh ibu bapa mereka. Sudah pasti ada yang mengambil kesempatan. Sebagai contoh kes ini. Apa pendapat dan pandangan Encik Abu terhadap Undang-Undang Perlembagaan Negara yang dianggap sudah lengkap ini?”
Aku agak terkejut dengan soalannya itu. Situasi ini sama seperti sebelumnya. Bagaimana dia tahu namaku? Aku menjadi seorang professor?
Ada satu kemungkinan yang berlegar dalam kepalaku. ‘Sudah macam cerita yang ditayangkan  di televisyen.’ Adakah aku berada di masa hadapan?
“Oh ya. Sebelum itu assalamualaikum saya ucapkan kepada professor. Minta maaf atas ketidakadaban saya sebelum ini. Biar saya memperkenalkan diri dahulu. Nama saya Abdullah Amir bin Saad. Mungkin professor tidak mengenali saya.” Sambung lelaki itu lagi.
“Waalaikumussalam.” Eh, aku dapat berbicara.
“Berkaitan dengan kes ini, …” Aku cuba menjawap soalannya itu.

Bab 5
Aku tidak sempat menghabiskan kata-kata dan terus dibawa pergi ke situasi lain. Dalam urusan permindahan itu, menjadi lebih lambat daripada sebelum itu. Bagaikan aku melalui sebuah terowong yang gelap. Aku masih sempat berfikir akan kejadian tadi. Adakah aku akan menjadi seorang professor di masa hadapan? Itu aku tidak pasti. Aku lebih memikirkan tentang keputusan mahkamah sebentar tadi.
Keputusan di mana seorang budak lelaki bernama Kishorthanan tidak dibenarkan menganut agama Islam di sebuah negara Islam. Tidak masuk akal sekali.
Aku teringatkan kata-kata lelaki berusia tadi yang dipanggil Fikri.
“Tahniah! Aku ambil bidang kehakiman. Yalah, memandangkan bab hukum-hukum ni penting, aku nak menggalas tanggungjawab untuk memeliharanya. Bab-bab macam ni jangan main-main.”
“Benar kata lelaki tadi itu.” Kata aku sambil berkerut dahi. “Ah, apalah yang akan terjadi dengan negara ini jika dibiarkan sebegini?” Soalan itu ditanya oleh aku sedangkan aku sudah tahu apa akibatnya.

‘Malaysia, sebuah negara yang sudah merdeka dari jajahan kuasa asing secara rasmi sejak 31 Mei 1957. Tanggal yang cukup bermakna bagi sebuah negara kecil di Asia Tenggara. Sejak dari tarikh itu, Malaysia sudah bangkit dan berjaya dalam beberapa bidang. Malaysia adalah sebuah negara membangun dan ingin mencapai Wawasan 2020 iaitu menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020. Kerajaan bertungkus-lumus membina negara ini. Beberapa segi diutamakan dalam mencapai Wawasan 2020. Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan menyediakan dan membina tempat-tempat yang menarik yang sesuai untuk menjadi kunjungan pelancong asing. Bukan sahaja dengan itu, kerajaan sudah menyediakan dan menaja pesta-pesta antarbangsa. Menjadi kewajipan untuk sebuah negara yang mahu menggalas nama negara maju supaya menerbitkan banyak buku. Oleh yang demikian, kerajaan Malaysia menggalakkan rakyatnya menulis karya.
Petikan akhbar Harian Metro, 20 Mei 2013.’
Aku teringat akan isi akhbar yang aku pernah baca. Ada banyak percanggahan yang dapat aku utarakan terhadap petikan ini. Aku pernah bincangkan tentang hal ini dengan rakan-rakanku.
“Ish, kau lihat suratkhabar ni. Tidak masuk akal!” Kata Azman sambil menghulurkan sehelai suratkhabar kepada Fikri. Aku tertarik dengan kata-kata Azman dan memanjangkan leher untuk membaca keratan akhbar itu.
“Haha. Lawak yang tak menjadi oleh suratkhabar ni. Rakyat boleh berfikir.” Balas Fikri dengan riak yang aku kira rasa jengkel.
‘Apa pula yang ada sehinggakan mereka naik angin?’ Tanya aku sendirian.
“Kau lihat pada muka surat hadapan. Ada dua tajuk besar. Tajuk pertama merupakan pemberitahuan langkah-langkah yang diambil oleh Kementerian Pelancongandan Kebudayaan  untuk menarik minat pelancong. Tajuk kedua pula berita tentang lima orang belia negara yang mati dalam satu pesta disebabkan pengambilan dadah yang berlebihan.” Kata Rahman. Aku baru sedar akan kehadirannya di sisi Azman.
“Tak perlu kata. Rakyat dapat berfikir. Sudah jelas lagi bersuluh ada paradoks. Terima kasih juga kepada akhbar ni sebab meletakkan dau berita gergasintu bersebelahan. Lebih jelas kecelaruan sistem negara ini.” Kata aku dan sekali gus menutup perbicaraan kami yang singkat namun mendalam.
Petikan ini merupakan salah satu isi bagi berita itu.
Negara Malaysia sebuah negara Islam, yang longgar sistem Islamnya.

 Bab 6
Aku tiba di sebuah tempat. Di sebuah lorong yang agak gelap. Tempat ini sangat asing dengan udara dan suhunya.
Aku meraba-raba dinding dan akhirnya keluar ke sebuah jalan. Bukanlah jalan utama.
“Astagfirullah Halazim!” Itulah kata-kata pertama yang aku sebut. Aku terkejut, sungguh tergamam dengan apa yang aku lihat.
“Aku bukan di Malaysia, tetapi di Syria!” Ayat ini menerangkan situasi aku ketika itu. Sudahlah aku mengalami peristiwa pelik di mana aku pergi ke situasi berlainan sekelip mata, kini aku dihidangkan pemandangan yang dashyat, sungguh dasyat.
Aku mula berjalan ke hadapan. Demi satu langkah dan satu langkah. Aku lihat sekeliling. Kenderaan-kenderaan dan bangunan-bangunan musnah angkara bom.
Aku pernah lihat situasi ini di internet mahupun gambar. Namun semua itu hanyalah bersaiz komputer. Kini, aku di sini, bukan sekadar melihat.
Aku tersedar daripada lamunan. Terkejut akan suara tangisan orang ramai. Jeritan lebih tepat. Sebenarnya bukanlah mereka baru menjerit namun aku baru tersedar akan jeritan itu dek rasa terkejut.
Aku melihat orang ramai menangis. Bukan tersedu-sedu tetapi sekuat-kuatnya.
‘Apa yang aku perlu buat? Bagaimana aku di sini? Kenapa ini menjadi destinasi aku yang seterusnya?’ Soalan itu hanya berlegar-legar setakat dalam minda aku.
Aku lihat jalan sudah retak. Melihat kelebaran sisa-sisa jalan itu, ia merupakan sebuah jalan utama. Orang ramai berasak-asak untuk membawa mangsa-mangsa yang tercedera. Masih baharu lagi! Aku agak ada letupan bom di sini sebelum aku tiba.
“Astagfirullah Halazim, Alhamdulillah.” Itu sahajalah dua kalimah yang aku mampu ucapkan. Berada di Syria merupakan pengalaman yang bermakna. Aku bersyukur kerana tidak ditunjukkan adegan-adegan rejim Zionis melancarkan bom ke atas Bandar ini. Aku pasti tidak mampu menanggung keperitan melihatnya.
Air mata mengalir. Aku seorang budak lelaki. Itu tidak bermakna aku tidak dapat menangis tika melihat saudara Islam aku dibunuh dan dibom sesuka hati bagaikan alat permainan. Bagaikan sebuah permainan pemburuan, pemburuan manusia.
Suasana ketika itu tidak dapat digambarkan. Orang ramai menjerit dalam bahasa yang aku tidak fahami. Aku hanya berdiri di situ.
Tiba-tiba ada seorang budak lelaki memegang kakiku. Aku memandang ke bawah. Tangannya yang berdarah itu hanya sampai ke pinggangku. Aku tertarik melihat wajahnya.
Apa yang aku lihat amat menyedihkan. Mukanya berlumuran darah. Matanya merah, mungkin ada pendarahan di dalam kedua-dua matanya. Aku rasa sungguh hiba.
Di mukanya ada debu tanah yang berwarna coklat keemas-emasan.
Pemandangan yang sungguh dasyat.
 Bab 7
Tup. Aku tiba di rumahku. Pengalaman di Syria tidak dapat aku lupakan.
Apa yang terjadi? Aku pergi ke tiga buah tempat yang berbeza dengan sekelip mata. Pengalaman peristiwa itu lebih difikiran aku. ‘Aku berjumpa dengan dua orang lelaki yang mengenaliku dan tentang hal keputusan mahkamah yang tidak wajar. Seterusnya di Syria.’
Pelik.


Akhirnya bangun. Imbasan kejadian itu masih ada dalam kotak fikiran aku. Banyak ingatan samar-samar akan kejadian itu yang berlalu sepantas kilat dalam kotak fikiran aku. Ada yang aku ingat aku pernah lihat, ada yang tidak.
‘Masih penat dengan pengembaraan aku ni.’ Aku sedih dan terkejut dengan peristiwa-peristiwa yang aku alami tadi.
‘Alhamdulillah, semuanya hanyalah mimpi semata-mata’  Perabot-perabot di sekeliling aku, kesemuanya berputar-putar untuk seketika.
Alhamdulillah. Nasib baik semuanya kembali seperti sedia kala. Aku segera mencapai cermin mata di atas meja kecil yang diperbuat daripada kayu jati tahan lama. Aku memandang jam di dinding.
Sudah lambat! Aku segera bangkit dan keluar.
Di ruang tamu, ibuku sedang menonton televisyen.Ia merupakan rutin harian baginya untuk menonton berita pada setiap pagi. Dia menjeling kepadaku. Aku tersengih. Aku menjenguk ke dapur. Ayahku sedang mendengar radio. Sudah menjadi rutin baginya untuk mendengar berita pagi sambil menghirup secawan teh panas. Aku segera masuk ke dalam bilik air.
‘…sesak akibat suatu kemalangan. Dilaporkan negara Syria sekarang bagaikan telur di hujung tanduk apabila rejim Zionis menyerang bertubi-tubi sejak pagi tadi. Hampir kesemua Bandar-bandar di Syria musnah akibat ledakan bom. Rakyat Malaysia diminta berdoa untuk saudara semuslim di sana. …’
“Astagfirullah Halazim!” Kata Pak Abdullah sambil menghirup secawan teh kegemarannya pada pagi yang indah di Malaysia itu.
‘Berita seterusnya. Abdullah Amir bin Saad, seorang pelajar lelaki berusia 18 tahun yang mengambil Sijil Pelajaran Malaysia pada tahun lepas dikejutkan dengan berita bahawa dia merupakan pelajar terbaik bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia di seluruh Malaysia. Tan Kee Won ada berita selanjutnya. …’

“Nampaknya kena sapu lagi ni. Semalam dah sapu, masih belum bersih lagi rupanya.” Kata Puan Rahimah sambil memandang ke arah habuk yang seakan-akan tanah berwarna coklat keemas-emasan yang berada di bawah meja bersebelahan dengannya. Hanya sedikit namun jelas kerana warnanya yang cantik.


Hah, itulah karya aku. Aku pun minat dengan Sastera Melayu.

No comments:

Post a Comment